The Lean Startup: Pembelajaran Yang Disahkan
Sebagai usahawan yang mengendalikan startup, terdapat banyak perkara yang tidak diketahui. Usahawan mungkin tidak tahu apa yang dikehendaki pasaran dan pengguna. Mungkin juga tidak tahu langsung bagaimana membinanya. Adakalanya juga tidak tahu berapakah harga yang hendak diletakkan.
Fungsi utama startup adalah untuk belajar dan bukannya menjana pendapatan semata-mata. Usahawan tidak mereka-reka cerita selepas sesuatu perkara berlaku tetapi sebaliknya merancang apa yang hendak dipelajari dan diukur secara empirikal. Itulah yang disebut sebagai pembelajaran yang disahkan.
Sebagai contoh, seorang usahawan dapat menunjukkan dengan jelas data menyokong kenyataan bahawa ramai pelanggannya datang melalui emel. Usahawan tersebut tidak mengatakan sebegitu semata-mata hasil tinjauan rambang kepada dua tiga orang pelanggan. Melalui pembelajaran yang disahkan usahawan belajar tentang apa yang menjadi untuk bisnes mereka dan apa kadarnya.