Ulang Tahun ke-8 FirdausAriff.com

Saya mula menulis blog sejak Julai 2003 pada usia 17 tahun – pada waktu itu Blogger.com masih belum dibeli oleh Google. Sekarang usia saya 34 tahun maka sudah lebih separuh kehidupan saya telah tercatat dalam blog.

Dulu saya pakai nama Ibnu Ariff tetapi bila dah nak kahwin tu saya tukar persona online saya kepada Firdaus Ariff. Domain FirdausAriff.com dibeli pada tahun 2012 daripada Google.com dan saya terus berblog menggunakan enjin Blogger.

Tahun lepas saya cuba menggunakan enjin Ghost dan buat subdomain untuk pandu uji. Pengalaman menulis memang best, tak serabut macam Blogger dan WordPress. Namun dari segi teknikal terlalu banyak kekangan dan tidak menyokong eCommerce. Malah nak import posting dari Ghost ke WordPress pun tak boleh!

Jadi dalam musim PKP ini saya sibuk buat projek WordPress jual konten digital dengan beberapa penulis. Dah masuk PKP3 baru sempat buat untuk diri sendiri. Itu pun banyak cabaran dan halangan walaupun sudah banyak kali setup website WordPress.

Antara cabaran besar adalah mengekalkan URL stail Blogger untuk posting-posting lama. Kemudian adalah untuk memindahkan data bertahun dari pelbagai blog. Konon untuk menjaga positioning, sepanjang 8 tahun lepas ada banyak blog niche yang saya buka untuk projek dan minat tertentu.

Renjatan akses Disk server dah cukup untuk korupkan database WordPress

Nak jadi cerita pula, website ini kena DDOS apabila dipindahkan keluar dari Blogger minggu lepas.Kelam-kabut dibuatnya nak pasang Cloudflare dan segala macam security lain. Lupa pula bila website dah lama ada banyak ancaman. Lupa bahawa selama ini semua itu diuruskan oleh Google, sekarang hadaplah sendiri.

Sepanjang 8 tahun lepas FirdausAriff.com banyak tertumpu hal-hal bisnes dan marketing – lebihnya menjadi saluran untuk saya dapat klien. Tapi rasa tak puas, sebab ada banyak sisi lain dalam kehidupan ini yang menarik di luar bisnes.

Persetankan hal positioning – biarlah orang keliru saya ni konsultan, videografer, tukang masak atau pendiri startup. Apa yang penting, saya nak tulis blog!