Value Proposition: Karipap

Sebelum ini kita telah lihat value proposition yang berbeza dalam perkhidmatan fotografi. Kali ini kita lihat bagaimana satu produk yang ringkas seperti karipap mempunyai pelbagai value proposition.

Value proposition paling tipikal adalah seorang yang pandai membuat karipap menghasilkan sendiri produk dan menjualnya sendiri di gerai tepi jalan. Penjual tersebut mungkin bersaing dengan ramai lagi penjual kuih di sepanjang jalan yang sama. 
Namun sekiranya karipapnya ditukar menjadi saiz gergasi, maka value propositionnya akan berubah. Karipap bukan lagi snek tetapi menjadi hidangan yang mengenyangkan. Sekarang produknya sudah berada dalam kategori yang sama dengan burger.
Pilihan lain adalah dia boleh menghasilkan karipap dan meletakannya untuk jualan di kedai-kedai lain. Melalui cara ini dia tidak perlu berada di gerai sepanjang hari dan dapat meluaskan kawasan jualan. Cuma mungkin keuntungannya bagi setiap unit karipap akan berkurangan. Beliau juga akan terdedah kepada kerugian sekiranya karipap yang dihasilkan tidak habis. Jika di gerai, beliau boleh menggoreng mengikut keperluan.
Cara lain lagi, karipap tersebut boleh disejukbekukan dan dibekalkan ke pasaraya. Produk dapat bertahan lebih lama dan dapat mencapai pelanggan yang berpendapatan lebih tinggi. Risikonya adalah pembayaran yang lambat dari pihak pasaraya.
Satu lagi cara, karipap boleh dihasilkan dalam versi mini dengan inti yang kering. Karipap dalam bentuk ini telah menjadi kuih dan sesuai dipasarkan semasa musim perayaan. Tempoh hayatnya juga lebih lama dan boleh dihantar melalui pos.
Memikirkan value proposition akan membolehkan peniaga keluar dari perangkap idea lama yang tidak produktif dan mencapai keuntungan yang lebih.