Value Proposition

Semalam saya menghadiri majlis daftar rai adik saya sebagai peguam bertauliah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Dalam ramai-ramai orang di situ, kami menyedari ada sekelompok wartawan dan jurugambar. Kami mengandaikan mereka adalah wartawan hiburan, ‘muka Melodi’ kata adik saya.

Adik saya bertanya, mengapa jurugambar berita menggunakan kamera yang mahal tetapi hasilnya tidak secantik mana? Jawab saya mudah sahaja, apa yang penting bagi jurugambar berita adalah untuk mendapatkan gambar tokoh atau peristiwa yang dikehendaki. Apa yang penting adalah dapat, soal cantik itu nombor dua. (Ted Adnan bilang, direct flash pun boleh~!)

Kamera yang mahal (baca: canggih) dapat beroperasi dengan lebih pantas dan menjejak subjek secara automatik walaupun dalam suasana pencahayaan yang sukar. Ini meningkatkan peluang jurugambar tersebut mendapatkan gambar yang dikehendaki.

Berbeza dengan jurugambar perkahwinan yang sebenarnya sudah menjurus kepada fotografi fesyen. Penggambaran tidak terlalu pantas dan jurugambar masih boleh memberi arahan kepada pengantin. Banyak perkara boleh diatur oleh jurugambar. Soal cantik adalah nombor satu dan fotografer bebas menggunakan Photoshop bagi mendandan imej yang dirakam. Sebaliknya, Photoshop adalah ‘haram’ bagi jurugambar berita.

Di sini kita dapat lihat bagaimana pekerjaan yang sama mempunyai value proposition yang berbeza bagi bidang dan klien yang berbeza walaupun menggunakan alat yang sama. Kegagalan memahami value proposition menyebabkan kita tidak memberi hasil yang dikehendaki dan seterusnya menyebabkan kehilangan bisnes.